OLEH NORHAYATI UMOR
PETALING JAYA, 6 MEI: Sejumlah RM5 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula tahun lalu bagi menaiktaraf sistem pembelajaran abad ke-21 menerusi program PJ KITA bagi segmen #PJSCHOOL.
Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, peruntukan itu membabitkan membaikpulih kemudahan dan infrastruktur sekolah di seluruh kawasan Petaling Jaya.
Katanya, antara sekolah yang menerima manfaat itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, Lembah Subang, Damansara Damai, Sultan Alam Shah 1 dan 2, Sri Petaling, Sri Damai, Sekolah Menengah Assunta, Sri Aman dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan dan Pinang Tunggal.
“Melalui platform #PJSCHOOL ini, MBPJ juga menjalinkan kerjasama dengan sekolah-sekolah untuk sama-sama berganding bahu ke arah persekitaran yang selamat, bahagia dan mampan.
“Baru-baru ini, MBPJ turut bekerjasama dengan SMK (P) Sri Aman bagi menjayakan program SAEYLS iaitu satu persidangan bertaraf antarabangsa yang disertai oleh 110 peserta dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina, Thailand dan China.
“Selain itu, perkongsian tanggjungjawab bersama pihak sekolah Damansara Damai turut mendorong MBPJ membangunkan projek PJKITA PARK1 : i-Play Park di Urban Park,” katanya di majlis perlancaran PJ City Food Truck, baru-baru ini.
Pada masa sama, katanya, MBPJ kini giat melaksanakan pelbagai program dan projek bersama pelajar sekolah bagi memimpin pelajar mengharungi masa depan.
“Generasi muda ini merupakan kunci kejayaan dan bakal pemimpin. Mereka merupakan penyambung generasi kita dan berpontensi membuat perubahan dalam signifikan persekitaran bandaraya kita,” katanya.
=EZY=