OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 2 MEI: Cita Rasa Warisan Nusantara terus menjadi tema Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dalam menawarkan gabungan lebih 100 juadah berbuka puasa sempena Ramadan 2017 ini.
Pengurus Besar SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, tema itu dipilih sekali lagi atas permintaan pelanggan yang menginginkan makanan nusantara gabungan kelompok melayu di asia tenggara antaranya Malaysia, Indonesia dan Brunei.
“Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, kita masih mengekalkan harga buffet dengan baucer bernilai RM88 bagi dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 10 tahun.
“Walaubagaimanapun, pelanggan kini boleh mendapatkan promosi pembelian awal dengan harga serendah RM78 sebelum 27 Mei ini,” katanya kepada Selangor Kini.
Sementara itu, bagi pelanggan korporat disediakan Pakej Korporat bermula pada harga RM70 dengan jumlah minima seramai 50 orang.
“Kita menyediakan ruang khas untuk tetamu bagi pakej ini,” katanya.
Nasrudin berkata, menariknya lagi tahun ini dihidangkan masakan istimewa antaranya ampal masak merah banjar, gulai itik hijau nusantara dan kepala ikan pindang lampung.
Selain itu, turut disajikan Kambing Kebuli yang sentiasa menjadi rebutan pelanggan serta roti bersama sup periuk utara, lontong Selangor, daging rendang Minang, ayam bakar bumbu Bali, ayam Kalio Minang, kari kepala ikan Nyonya dan 19 gerai lain yang menghidangkan pelbagai jenis kuih muih, buah-buahan dan aneka pencuci mulut.
Orang ramai boleh membuat tempahan menerusi laman web www.sacc.com.my/bufet-ramadan-2017 atau menghubungi talian 03-5511 8858.