Categories
EKONOMI

SIE 2016 catat RM100 juta transaksi, tarik lebih 10,000 pengunjung

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 MEI: Selangor International Expo (SIE) 2016 berjaya mencatat kira-kira RM100 juta transaksi dan 10,689 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, pameran berkenaan disertai 373 syarikat daripada 15 negara dengan jumlah keseluruhan ‘booth’ sebanyak 525.

Katanya, ia juga menerima liputan meluas media sehingga berjaya membuat capaian kepada 41 juta audiens serata dunia.

“Sejak diperkenalkan pada 2015, SIE berjaya menarik penyertaan komuniti perniagaan daripada negara ASEAN, China, Timur Tengah dan Eropah.

“Ia juga sudah berjaya meletakkan Selangor sebagai hab perdagangan global, mencipta platform untuk syarikat multinasional (MNC) dan tempatan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

“Di samping mereka juga dapat melaksanakan strategi pemasaran masing-masing, jalin kerjasama dan pendedahan kepada teknologi terkini,” katanya.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri juga bakal menganjurkan Selangor International Business Summit 2017 selama 10 hari di Setia City Convention Centre (SCCC), bermula 7 hingga 12 September nanti.

Katanya, ia meliputi tiga majlis besar iaitu Selangor Smart City & Future Commerce Convention 2017 bermula 7 hingga 9 Sepetember, Selangor-ASEAN Business Conference (11-12 September) dan SIE 2017 (14 hingga 17 September).

“Kerajaan Negeri teruja kerana bakal bekerjasama rapat dengan Barcelona yang merupakan salah satu bandar mampan dalam pembangunan Smart City,” katanya.

=EZY=