Categories
NASIONAL

Tarik balik caj terhadap #UMANY4

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 MEI: Universiti Malaya (UM) digesa menarik semua caj dan keputusan terhadap pelajar terlibat dengan protes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong berkata, pelajar yang berani menyuarakan kebimbangan terhadap skandal terkenal seantero dunia itu seharusnya dipuji.

Katanya, tindakan universiti berkenaan tidak sepatutnya diambil memandangkan pelajar mempunyai sebab relevan untuk bersuara.

“Sebaliknya, UM memutuskan untuk menghukum mereka dan langkah itu sekali gus menjadi halangan kepada usaha menegakkan hak bersuara dalam kalangan pelajar dan rakyat di negara ini.

“Saya menggesa pentadbiran universiti menarik balik semua caj dan keputusan dibuat secara tidak wajar terhadap #UMANY4 tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, UM menolak rayuan salah seorang dari empat pelajar yang didenda kerana memegang sepanduk bantahan semasa sesi ceramah 1MDB di kampus itu, tahun lalu.

Sementara itu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) berkata, UM mendakwa rayuan Tan Jia You ditolak kerana gagal mengemukakan petisyen dalam tempoh 14 hari sebelum prosiding pertama.

elizabeth-wongUMANY berkata, bagaimanapun perbincangan bersama pensyarah undang-undang mendapati Jia You mengemukakan petisyen dalam tempoh dibenarkan dan tidak terlalu lewat.

“Dalam erti kata lain, alasan diberikan universiti adalah jelas tidak sah dan kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pengurusan UM bercadang menghapuskan hak pelajar membuat rayuan.

“UMANY akan mengemukakan satu lagi surat kepada pengurusan universiti untuk membantah keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 7 April lalu, Jia You yang juga Timbalan Presiden UMANY didapati bersalah dan diberi amaran keras serta didenda RM150.

Pelajar lain termasuk Lau Li Yang, didenda RM600 serta Ho Chi Yang dan Chua Hun Ti masing-masing didenda sebanyak RM300.

Pada 11 Oktober 2016, kesemua mereka membawa sepanduk bantahan ketika sesi ceramah mengenai 1MDB anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Sepanduk itu antaranya bertulis ‘Mahasiswa mahukan jawapan’, ‘1MDB jangan spin’, ‘1MDB – Kami mahu jawapan’, dan ‘1MDB – Kembali wang rakyat’.