Categories
KENYATAAN MEDIA

Veteran ATM mampu buat keputusan sendiri

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Sharuddin Omar agar veteran tentera terus menyokong penuh kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, veteran telah lama berkhidmat untuk negara dan kerajaan dan harus terus berpegang pada prinsip ini.

Saya rasa kenyataan ini tidak wajar sama sekali kerana setiap ahli veteran ATM mampu membuat keputusan berdasarkan prinsip yang dipegang sendiri.

Perlu saya ingatkan di sini bahawa visi ATM sendiri adalah “Melindungi Kedaulatan, Integriti dan Kepentingan Negara”.

Menyamakan kesetiaan kepada negara dengan kesetiaan kepada kerajaan adalah satu salah faham yang lazim dan harus diperbetulkan.

Patriotisme adalah sikap cinta dan setia kepada negara, dan sekiranya sebarang pemimpin mentadbir negara dengan rakus dan zalim sehingga membebankan rakyat, apakah wajar kita terus memberi sokongan?

Pihak veteran juga boleh menilai sendiri keikhlasan pihak kerajaan di dalam menjaga kebajikan veteran yang pernah dizalimi dengan kelewatan pembayaran pampasan, penyalahgunaan dana LTAT dan dasar-dasar yang tidak melindungi veteran ATM.

Saya menyarankan pihak veteran ATM untuk membuat penilaian bukan berdasarkan sentimen memihak sebarang kerajaan yang memerintah (government of the day), tetapi atas dasar cinta pada negara dan memilih pemimpin yang berlaku adil.
* NIK NAZMI NIK AHMAD ADALAH KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN