Categories
SELANGOR

VEX 17 dedah pelajar UNISEL kepada industri luar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Inisiatif Universiti Selangor (UNISEL) membawa hasil kerja pelajar ke luar kampus menerusi Pameran Seni Visual (VEX17) adalah antara strategi terbaik mendedahkan kebolehpasaran mereka.

Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali berkata, usaha itu juga membolehkan idea dan bakat pelajar dalam grafik serta fotografi dinilai penggiat industri.

Katanya, pendedahan hasil kerja pelajar itu sekali gus meningkatkan peluang kerjaya mereka.

“Syabas dan tahniah kepada UNISEL kerana masih mendukung penuh aktiviti seni di negara kita.

“Pameran ini juga merupakan titik penting bagi mengeratkan lagi hubungan universiti terutama pelajar dengan industri luar,” katanya ketika ucapan Perasmian Pameran VEX 2017 di AEON Piazza, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Prof Dr Mokhtar Abdullah dan Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Prof Dr Azmuddin Ibrahim.

Pameran dua tahun sekali itu dijadual berlangsung selama enam hari bermula 9 Mei sehingga 14 Mei ini di Aeon Piazza Shah Alam.