Categories
EKONOMI

100 peniaga e-dagang sertai Malaysia Top E-Commerce Merchant Award

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Kira-kira 100 peniaga e-dagang dijangka mengambil bahagian dalam ‘Malaysia Top E-Commerce Merchant Award’ yang akan diadakan pada 9 September depan di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Memasuki penganjuran kali kedua itu, Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (SITEC) menawarkan wang tunai sebanyak RM25,000 dan hadiah menarik lain antaranya trofi, sijil, kursus pemasaran atas talian dan bengkel pemasaran e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping berkata, SITEC secara agresif terbabit dengan komuniti e-dagang tempatan sejak penubuhannya pada pertengahan 2015.

Katanya, ‘Malaysia Top E-Commerce Merchant Award’ itu disifatkan sebagai salah satu peluang tambah nilai yang disediakan bagi peniaga tempatan.

“Mereka boleh bersaing untuk membuktikan keberanian mereka sebagai peniaga e-dagang di malaysia.

“Pada masa sama, peniaga yang mengambil bahagian boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengiktirafan dan peluang untuk meningkatkan lagi jenama mereka di kalangan industri dan pengguna,” katanya.

‘Malaysia Top E-Commerce Merchant Award’ akan diadili oleh panel pertandingan yang terdiri daripada 11 Street, Lazada, MDEC, Internet Alliance, SITEC dan EC Insider.

Kai Ping berharap penganjuran anugerah itu dapat menggalakkan dan memupuk amalan terbaik industri dan semangat persaingan yang sihat serta inovatif di kalangan peruncit dalam talian.

Ini kerana ia merupakan asas kepada pertumbuhan Ekonomi Digital di Malaysia sebagai perkhidmatan dan barangan pembekal untuk orang ramai.

Tahun lalu, anugerah itu mendapat penyertaan 70 peniaga tempatan dan Sally Fashion merangkul gelaran juara diikuti Gundam.my dan DIYPrintingSupply.com. yang diadakan di Empire Subang.

‘Malaysia Top E-Commerce Merchant Award’ diadakan bertujuan memupuk semangat persaingan dan penyediaan kualiti perkhidmatan yang tinggi di kalangan e-pedagang, ganjaran, kreatif dan inovatif peniaga online tempatan.