Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

449 asnaf terima sumbangan raya RM224,500

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 3 JUN: Hari raya kali ini pasti lebih bermakna kepada 449 fakir, miskin dan saudara baru apabila menerima sumbangan raya bernilai RM224,500 daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang itu disampaikan baginda sendiri pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, petang tadi.

Baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis itu turut mengambil kesempatan beramah mesra dan berbuka puasa dengan kira-kira 1,000 rakyat yang menghadiri majlis terbabit.

Turut berangkat pada majlis itu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

IMG_20170603_200011Sebaik selesai solat tarawih, keluarga Diraja itu juga sempat menikmati jamuan moreh bersama rakyat.

Turut hadir pada majlis itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

=EZY=