Categories
SELANGOR

Bavaria bakal kunjungi Selangor kembangkan aero angkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JUN: Bersandarkan kluster aeroangkasa yang semakin berkembang di Selangor, Kerajaan Negeri bakal menerima kunjungan negeri perindustrian paling maju di Jerman iaitu Bavaria, Ogos depan.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan lawatan terbabit sekaligus hasrat Selangor memperkembangkan industri itu akan tercapai.

Katanya, lawatan ke Jerman baru-baru ini turut menggalakkan apabila syarikat besar dalam industri itu menunjukkan minat mendalam.

“Dalam lawatan yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali ke Jerman, kita berjumpa dengan syarikat-syarikat besar antaranya Airbus dan masing-masing berminat menjalin kerjasama.

“Mereka juga memohon bantuan kemudahan diberikan supaya mereka boleh bertapak di Selangor khususnya,” katanya kepada SelangorKini.

EKONOMI SELANGORPada masa sama, Chang Khim berkata satu memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan Bavaria.

“Proses kerjasama ini sedang berjalan. Bavaria merupakan negeri perindustrian paling maju di Jerman di mana syarikat seperti Airbus, BMW berasal dari negeri itu.

“Mereka berminat melabur di Selangor dan akan membuat lawatan pada bulan Ogos ini. Kita melihat ia amat positif walaupun ketika ini keadaan ekonomi sedikit lembab,” katanya.

Terdahulu, Selangor mensasarkan untuk menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dunia dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

Mohamed Azmin berkata industri itu bakal memberikan impak langsung kepada peningkatkan nilai FDI sekaligus menjangkakan pertumbuhan pesat kepada pembangunan ekonomi negeri, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Kerajaan negeri menjangkakan sejumlah RM750 juta dapat dijana menerusi industri aeroangkasa sebaik kilang di Serendah siap sepenuhnya.

AeroKetua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari berkata pembangunan industri itu akan datang bakal didorong oleh ekosistem padu yang sudah tersedia untuk dimanfaatkan oleh penggiat aeroangkasa.

Pembangunan itu termasuk taman pengeluaran logam aero angkasa di Serendah dan Subang, Subang Nexus serta Sepang, yang dikenali sebagai Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Industri aero angkasa di Malaysia mencatat pendapatan berjumlah RM11.8 bilion pada 2014 dan diunjur sebanyak RM12.6 bilion pada 2015.

=EZY=