Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia diramal catat aliran meningkat

KUALA LUMPUR 3 JUN: Bursa Malaysia dijangka dalam aliran meningkat minggu depan, didorong oleh ringgit yang stabil dan sentimen baik di pasaran luaran, dengan pengumuman data ekonomi yang kukuh di Amerika Syarikat.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit yang stabil pada RM4.28 berbanding dolar AS, adalah petanda yang baik bagi pasaran saham tempatan berikutan ia mencerminkan aliran masuk dana asing yang bertambah baik.

“Persekitaran di luar Malaysia turut positif dengan prestasi bursa serantau yang kukuh, angka pekerjaan sektor swasta AS yang meyakinkan dan tanda-tanda peningkatan ekonomi global.

“Semua faktor ini akan membawa kepada keyakinan yang lebih tinggi dalam pendapatan korporat, sekali gus menyediakan rangsangan kepada Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, purata saham Nikkei Jepun mencatatkan hampir tertinggi sejak pertengahan Ogos 2015, naik 1.6 peratus kepada 20,177.28 pada Jumaat.

Dalam negara, Nazri Khan berkata, pelan penggabungan antara RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd akan menjadi pemangkin utama bagi sektor perbankan di Bursa Malaysia minggu depan dan dijangka mendorong FBM KLCI ke arah paras 1,800.

Sementara itu, Alliance-DBS Research berkata jangkaan pemulihan pendapatan kekal kukuh dengan pendapatan suku pertama 2017 memuaskan, apabila 65 peratus daripada syarikat di bawah liputannya memenuhi jangkaan.

Katanya, ekuiti tempatan kukuh pada Mei, bagaimanapun, berdasarkan asas yang bertambah baik dan risiko geopolitik luaran yang semakin berkurangan, memberi peluang kepada pelabur untuk memanfaatkan faktor-faktor berkenaan.

“Kami terus memilih kitaran kepada saham defensif dan yang mempunyai pemangkin pertumbuhan pendapatan yang jelas. Pilihan saham bermodal besar kami adalah Maybank, Genting dan Gamuda.

Antara saham bermodal kecil dan sederhana, kami memilih BIMB, Sunway Construction, VS Industry, Serba Dinamik, Globetronics dan Yong Tai,” kata Alliance-DBS Research.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI meningkat 4.65 mata kepada 1,776.95, Indeks FBM Emas naik 20.68 mata kepada 12,682.26 dan Indeks FBMT 100 menambah 30.97 mata kepada 12,325.33.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah susut 30.11 mata kepada 12,894.35. Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.34 bilion unit bernilai RM14.01 bilion daripada 16.20 bilion unit bernilai RM14.43 bilion dicatatkan minggu lalu.

SUMBER: BERNAMA