Categories
GLOBAL

Cubaan ‘rampasan kuasa’ di Venezuele, helikopter serang KDN

CARACAS 29 JUN: Sebuah helikopter polis Venezuela dilaporkan menyerang bangunan Mahkamah Agung dan kementerian kerajaan di sini semalam, sekali gus memburukkan lagi krisis politik negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menyifatkan kejadian itu sebagai satu serangan ‘pengganas’ dalam cubaan kudeta menggulingkan kuasa negara, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Helikopter itu melepaskan 15 tembakan ke arah Kementerian Dalam Negeri di mana sebilangan orang berada di situ untuk satu acara awam. Sebanyak empat bom tangan digugurkan ke atas bangunan mahkamah pada ketika hakim-hakim sedang bermesyuarat, kata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam serangan itu.

“Kami akan menahan helikopter dan mereka di sebalik serangan bersenjata keganasan itu ke atas institusi-institusi negara ini. Mereka mungkin boleh menyebabkan berpuluh-puluh orang mati,” kata Maduro.

Pihak berkuasa Venezuela dalam satu kenyataan menyatakan helikopter itu dicuri oleh seorang juruterbang penyiasat polis bernama Oscar Perez, di mana dia mengisytiharkan dirinya dalam pemberontakan terhadap Maduro.

Klip video di Instagram Perez pada waktu sama menunjukkan dia berdiri di hadapan sekumpulan lelaki bersenjata memakai jaket berhud dan menyatakan satu operasi bakal diadakan untuk memulihkan sistem demokrasi.

Perez berkata, dia mewakili satu gabungan tentera, polis dan orang awam yang membantah ‘jenayah’ kerajaan dan mendesak Maduro meletak jawatan dan meminta pilihan raya umum diadakan.

Sebelum ini, Maduro, pemimpin Parti Perpaduan Sosialis, berdepan protes selama tiga bulan daripada pemimpin pembangkang yang mengutuknya sebagai diktator. Maduro dituduh sebagai perosak kestabilan ekonomi negara. Beliau juga ditentang sebilangan pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan.

Maduro mendakwa petunjuk perasaan cuba menggulingkannya dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat yang berminat menguasai rizab minyak Venezuela, iaitu terbesar dunia.

=EZY=