Categories
NASIONAL

Insiden Air Asia patah balik diketahui dalam sebulan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JUN: Keputusan siasatan berhubung insiden pesawat AirAsia X D7237 yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth ekoran masalah teknikal bakal diketahui dalam masa sebulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Penerbangan Awam dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) sudah diarahkan untuk menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah pesawat berkenaan.

“Butiran terperinci siasatan akan mendedahkan lebih banyak maklumat daripada rakaman kokpit tentang apa yang sebenarnya berlaku semasa penerbangan itu,” katanya dipetik Bernama.

Pada 25 Jun lalu, pesawat AirAsia X dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth selepas berlepas tiga jam akibat masalah teknikal.

Pesawat D7237 dengan 359 penumpang itu berlepas pukul 7 pagi (waktu tempatan) dan selamat mendarat di Lapang Terbang Perth pada jam 10 pagi sebelum penumpang dipindahkan ke penerbangan berikutnya pada jam 11:40 malam hari sama.

Mengulas perkembangan lain, Tiong Lai berkata Lembaga Pelabuhan Klang diarah menyiasat laporan akhbar terdapat ratusan kontena berisi bahan buangan plastik dan tayar skrap ditinggalkan begitu sahaja di Pelabuhan Klang.

Katanya, perkara itu akan diberi perhatian serius ekoran terdapat kes penerima konsain tidak tampil menuntut kontena berkenaan sehingga memenuhi ruang di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

=EZY=