Categories
SELANGOR

IWB angkat peranan wanita dalam pembangunan negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 JUN: Penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) akan memartabatkan kedudukan wanita di Selangor selain memainkan peranan penting terhadap pembangunan dan kemajuan Selangor.

Penasihatnya, Zuraida Kamaruddin, berkata kewujudan IWB adalah usaha Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita melalui pembabitan golongan itu dalam pelbagai sektor untuk sama menggembleng tenaga dalam usaha mengangkat Selangor sebagai negeri contoh di negara ini.

“Ia bertujuan mengangkat dan memartabatkan kedudukan juga peranan wanita maka melalui dasar yang progresif, IWB akan melonjakkan lagi kedudukan wanita di Selangor.

zuraida-kamarudin“Jika dilihat di peringkat Persekutuan dan negeri lain, ia agak lesu terhadap usaha sebegini, dengan ini jika Selangor mampu melaksanakannya ia bakal dicemburui pihak dan negeri lain,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2017 tahun lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyentuh terhadap penubuhan IWB dan RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

Ahli Parlimen Ampang itu menjelaskan, kedudukan wanita di Selangor sememangnya lebih progresif dan terkehadapan berbanding mereka di negeri lain dan IWB akan memastikan usaha memartabatkannya diteruskan.

Katanya, ia selaras dengan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

“Wanita perlu bersama turut serta dan berperanan dalam pembangunan negeri kerana Selangor mengalami kemajuan membanggakan dari segi teknologi dan ekonomi.

“Malah masyarakat di Selangor dianggap lebih progres dan terdedah kepada maklumat semasa serta terbuka dari segi minda.

“Wanita tidak harus ketinggalan dan potensinya akan dimanfaatkan agar dapat sama-sama mengangkat Selangor ke tahap lebih maju di mana saingannya adalah di peringkat Persekutuan,” katanya.