Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jom sama-sama meriahkan Rumah Terbuka Eidul Fitri Selangor 2 Julai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JUN: Warga Selangor diseru hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Eidul Fitri Peringkat Negeri Selangor yang bakal berlangsung pada 2 Julai ini (Ahad) di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.

Bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang, majlis dijangka bakal disempurnakan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ini merupakan kali ketiga Sultan Selangor berkenan mencemar duli bersama rakyat dalam Majlis Sambutan Eidul Fitri Peringkat Negeri.

Turut menyempurnakan acara tradisi itu semestinya Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta barisan kepimpinan Exco Kerajaan Negeri serta wakil rakyat Selangor.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, terdapat 100 bas disediakan untuk membawa penumpang dari semua daerah ke lokasi berkenaan.

Pelbagai juadah daripada 47 penggerai turut disediakan antaranya sate Haji Samuri lebih 120,000 cucuk serta juadah lain di bawah khemah gergasi yang mampu memuatkan hampir 5,000 tetamu pada satu-satu masa.

Pengunjung juga bakal disajikan persembahan artis jemputan seperti Siti Sarah, Aiman Tino dan lain-lain dengan diiringi kombo Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagi kemudahan pengunjung yang hadir dengan kenderaan sendiri, MPAJ turut bekerjasama dengan pengurusan pasar raya, pusat membeli belah dan pemilik parkir bertingkat bagi menyediakan petak parkir.

Lebih 60,000 pengunjung dijangka menyertai acara tahunan itu dengan mengambil kira faktor kembalinya warga kota dari kampung halaman memandangkan sudah hari kelapan Syawal.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk meraikan lebih 60,000 rakyat negeri itu yang dijangka hadir pada sambutan itu.

Mohamed Azmin berkata, hal ini kerana majlis rumah terbuka itu merupakan masa terbaik untuk Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat.

=EZY=