Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Keluar zon selesa, rebut dan cipta peluang pekerjaan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Mahasiswa disarankan supaya keluar dari zon selesa atau mengambil peluang merantau bagi menempatkan diri dalam pasaran kerja tanpa bersikap terlalu memilih.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, disaat ekonomi tidak menentu tambahan berlaku peningkatan dan pengurangan dalam beberapa sektor, mahasiswa tidak sepatutnya menunggu kerja sebaliknya mencari peluang itu.

“Pelajar perlu pandai berdikari. Jangan terlalu memilih kerja sebaliknya gunakan kesempatan kerja itu untuk menimba pengalaman.

“Keluarlah daripada kongkongan atau terlalu bergantung kepada keluarga. Jangan terlalu duduk di zon selesa kerana anda tidak akan belajar apa-apa,” katanya.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam kenyataan pada sebelum melahirkan kebimbangan masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia.

Ia kerana berdasarkan kepada statistik Kementerian Sumber Manusia yang menunjukkan 200,000 belia masih menganggur daripada hampir setengah juta penganggur di Malaysia.

PEKERJA 1Katanya, pelajar juga perlu bijak berinteraksi dengan masayarakat dan industri luar dan tidak terkongkong kepada komunikasi antara kawan-kawan dan pensyarah sahaja.

Shaharuddin berkata, budaya graduan yang sering melompat dari satu pekerjaan ke satu pekerjaan disifatkan sebagai tidak matang.

“Apabila mempunyai pekerjaan stabil, mereka seharusnya akan terus majukan diri sebelum membuat keputusan samada ada terus tumpukan pekerjaan sedia ada atau menceburi bidang perniagaan.

“Saya nampak banyak pelajar sekarang cenderung minat ke arah perniagaan. Paling penting lahirkan semangat inovasi dan kreativiti dalam diri sendiri,” katanya.

=EZY=