Categories
PBT SELANGOR

MBSA pergiat usaha jayakan Bandaraya Rendah Karbon 2030

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) giat menjalankan pelbagai aktiviti dengan melibatkan masyarakat peniaga dan pengguna bagi menjayakan misi Ke Arah Shah Alam Bandaraya Rendah Karbon 2030.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, antaranya Bazar Ramadan Mampan Selangor 2017 yang mula dianjurkan sejak tiga tahun lalu.

“Sejak dua, tiga tahun lepas kita mengambil pelbagai inisiatif untuk menjayakan bandaraya rendah karbon menjelang 2030 di mana program ini juga sebahagian inisiatif MBSA mendekati pengusaha makanan di Bazar Ramadhan di tempat ini,” katanya.

Ahmad Zaharin berkata demikian pada program Bazar Ramadan Mampan Negeri Selangor 2017 di Bazar Ramadan Bazarena Seksyen 13, di sini, semalam.

Jelasnya, program itu diadakan bagi memberi kesedaran awam kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurangan penggunaan bag plastik dan menggalakkan penggunaan beg biodegradasi serta penguatkuasaan larangan penggunaan polistirena di Selangor.

Sebelum itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Kebebasan Maklumat, Elizabeth Wong telah melancarkan program itu.

Selain itu, Elizabeth Wong turut mengagihkan barangan kelengkapan pengendali makanan seperti apron, topi dan bekas makanan mesra alam kepada penjaja makanan di bazar itu.