Categories
PBT SELANGOR

MBSA teruskan tradisi Sembang Sahur

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melengkapkan aktiviti Ramadan dengan program tradisi, Sembang Sahur di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program kali ketiga itu antara lain menampilkan Imam Muda Asyraf dan PU Amin untuk segmen bual bicara selain Mat Dan sebagai tetamu jemputan.

Katanya, ia adalah landasan MBSA merapatkan hubungan ukhwah dan silaturahim dengan pelbagai pihak khususnya warga Shah Alam.

“Melalui program ini juga tazkirah diberikan secara bersemuka dengan individu berkenaan kebaikan Ramadan oleh ahli majlis dan sukarelawan kepada pengunjung.

“Ia adalah komitmen berterusan MBSA mendekati masyarakat dan menjalin kemesraan terutama ketika menyampaikan dakwah,” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata, 1000 bungkus juadah sahur dan 500 unit buku agama tajaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut diedar secara percuma kepada pengunjung.

“Diharap program ini dapat meningkatkan penghayatan ibadah di bulan mulia ini kepada masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut disertai Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Asmah Mohd Zin, ahli majlis dan pengarah jabatan lain.

IMG_3067 IMG_3108 (1) IMG_3138 IMG_3233