Categories
GLOBAL

PERANG DIPLOMATIK: Negara Arab vs Qatar, Apa yang berlaku?

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Berikut adalah rangkuman berita sekitar perkembangan krisis diplomatik melibatkan beberapa negara Arab terhadap Qatar setakat jam 9.30 PAGI WAKTU MALAYSIA:

 

DAKWAAN TERHADAP QATAR:

Qatar didakwa mengukuhkan keganasan dan sokongannya kepada pertubuhan pengganas di Yaman, termasuk al-Qaeda dan Daesh, selain berurusan dengan militia pemberontak, kata kenyataan dikeluarkan agensi berita SPA.

Isu bermula ketika tercetusnya Kebangkitan Arab atau Arab Spring apabila Qatar dituduh membantu kerajaan Mesir yang ketika itu diketuai Mohamed Morsi, selain memberi kebebasan sepenuhnya kepada agensi media seperti Al-Jazeera, yang membawa kepada penyebaran maklumat sehingga jatuhnya beberapa kerajaan di Asia Barat.

Namun pertelingkahan beberapa negara Arab dengan Qatar sampai ke kemuncaknya apabila Qatar News Agency dikatakan digodam oleh pihak tertentu, yang membawa kepada keluarnya beberapa kenyataan yang berbaur kontroversi.

 

State Qatar

 

1. LONDON/ABU DHABI: Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepakat menghentikan eksport gula ke Qatar selepas dua negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha, kata sumber perdagangan.

Qatar mengimport kira-kira 100,000 tan gula setahun dari UAE dan Arab Saudi dan penggunaan bahan itu semakin meningkat pada Ramadan. – REUTERS

 
2. KAHERAH: Kerajaan Mesir memberi tempoh 48 jam kepada duta Qatar supaya meninggalkan negara itu dan memanggil pulang pegawai kanannya di Doha, kata Kementerian Luar Negara.

“Duta Qatar sudah dipanggil hari ini dan diberikan notis rasmi supaya meninggalkan negara ini dalam masa 48 jam,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan. – REUTERS

 
3. ANKARA: Turki menggesa dialog dan menawarkan diri menjadi orang tengah bagi menangani pertelingkahan antara Qatar dan negara Arab.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, berkata, perkembangan pertelingkahan itu benar-benar menyedihkan. AFP

 

4. COLOMBO: Maldives mengikut langkah lima negara, Arab Saudi, Mesir, UAE, Yaman dan Bahrain, memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

“Maldives membuat keputusan itu sebagai tindakan tegas terhadap negara yang melindungi pengganas dan tindakan melampau,” kata pihak berkuasa negara itu dalam satu kenyataan. – REUTERS

 

5. ADEN: Kerajaan Yaman memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, sejurus selepas negara sekutunya di Teluk menamatkan hubungan dengan Doha dalam ketegangan di rantau negara Arab yang semakin meruncing itu.

Yaman turut menyokong keputusan untuk menyingkirkan Qatar daripada pakatan tentera diketuai Arab Saudi, yang menyokong kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi menentang pemberontak Syiah. AFP

 

6. DUBAI: Saudi Arabian Airlines (Saudia) menggantung semua penerbangan ke Qatar, kata syarikat itu menerusi Twitter, tanpa memberikan butiran lanjut.

Syarikat penerbangan lain termasuk Emirates, Etihad Airways dan Air Arabia juga sudah mengumumkan langkah sama, manakala Qatar Airways menggantung penerbangan ke Arab Saudi. – REUTERS

 

7. DUBAI: Qatar Airways mengesahkan telah menggantung semua penerbangannya ke Arab Saudi, menurut laman web rasmi penerbangan itu. REUTERS

 

Qatar Airways

 

8. DOHA: Qatar menyelar keputusan tiga negara Teluk dan Mesir memutuskan hubungan dengannya, menyifatkannya sebagai ‘tidak wajar’ dan bertujuan meletakkan Doha di bawah ‘penjagaan’ politik mereka.

“Langkah-langkah yang diambil tidak wajar dan berdasarkan tuntutan palsu dan tidak berasas,” kata Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan, merujuk kepada langkah-langkah yang belum pernah diambil oleh Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

“Tujuannya adalah jelas, dan ia adalah untuk mengenakan ‘penjagaan’ di negara ini. Ia dengan sendirinya melanggar kedaulatannya (Qatar) sebagai sebuah negara,” katanya. – AFP

 

9. DUBAI: Syarikat penerbangan Etihad Airways bakal menggantung semua penerbangan pergi dan balik ke Doha sehingga dimaklumkan kemudian. REUTERS

 

10. SINGAPURA: Harga minyak melambung naik susulan tindakan lima negara, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Bahrain, Yaman dan terbaharu, Libya, memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar. – AGENSI

 

HARGA MINYAK

 

11. TEHRAN: Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif semalam, meminta Qatar dan negara jiran Teluk Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu mengadakan dialog bagi menyelesaikan pertikaian mereka.

“Jiran adalah kekal, geografi tidak boleh berubah. Paksaan bukan penyelesaian. Dialog itu adalah penting, terutamanya di bulan Ramadan,” menurut Zarif menerusi akaun Twitter. – AFP

 

REAKSI PAKAR:

1. Tindakan Arab Saudi dan empat sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dilihat langkah yang kurang wajar.

Dengan memberikan alasan Qatar menyokong kumpulan pengganas dan aktiviti ekstremisme, negara-negara berkenaan sepatutnya membawa isu tersebut ke meja rundingan dan melakukan sesuatu untuk memujuk Qatar agar menolak fahaman ektremis secara total.

Ketua Pusat Antarabangsa Bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan Singapura, Prof. Rohan Gunaratna. (ASTRO AWANI)

 

2. “Penggodam menggodam Qatar News Agency (QNA) dan QNA dikatakan melaporkan pemimpin utama Qatar membuat kenyataan yang menyebabkan pergeseran lebih besar terutamanya dengan Arab Saudi.

“Antaranya kenyataan berkaitan kepemimpinan Trump di Amerika Syarikat selain mempertikaikan kempen Arab Saudi untuk menyingkirkan Iran daripada kuasa-kuasa lain di Asia Barat,” – Penganalisis politik Prof. Kamaruzzaman Yusoff. – ASTRO AWANI

 

Qatar1
PANDANGAN MALAYSIA TERHADAP ISU QATAR:

KUALA LUMPUR – Malaysia akan ‘tunggu dan lihat dahulu’ sebelum membuat keputusan sama ada mengikut jejak beberapa negara Arab yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MALAYSIA“Kita tunggu dan lihat dahulu. Kita rapat dengan negara-negara Teluk. Kita tidak tahu apa isu sebenarnya ketika ini. Kita akan ikuti perkembangannya,” kata perdana menteri semasa diminta mengulas perkembangan terkini di Timur Tengah selepas melakukan lawatan ke Galeri Tun Razak Exchange (TRX) di sini.

Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Isnin setelah mendakwa negara Teluk itu menyokong pertubuhan pengganas. – BERNAMA