Categories
SUKANKINI

Red Giants laung amaran kehebatan Rufino Segovia

SHAH ALAM 11 JUN: Kehadiran penyerang kelahiran Sepanyol Rufino Segovia del Burgo yang berusia 32 tahun dijangka mampu membawa Selangor kembali cemerlang menjelang aksi Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal bersambung pada bulan depan.

Kapten skuad Selangor, Mohd. Razman Roslan berkata Segovia menunjukkan keupayaannya bersama pasukan ketika sesi latihan dan memiliki aspek yang jarang dimiliki oleh pemain import lain seperti kepantasan dan ketajaman di hadapan gol.

Sebagai rekod, kehadiran Segovia yang berusia 32 tahun adalah untuk melengkapkan kuota empat pemain import skuad Gergasi Merah selepas pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan kontrak pemain dari Timor Leste, Juliano Mineiro yang berakhir pada bulan ini.

“Saya harap kehadiran dia bersama-sama dengan dua lagi bekas pemain telah kembali bersama pasukan, Andik (Vermansyah) dan Amri (Yahyah) dapat memberi dimensi baharu buat pasukan dalam mengharungi jadual pada bulan depan,” kata Razman dipetik KOSMO.

Segovia merupakan pemain ketiga yang didaftarkan oleh skuad kendalian P. Maniam itu pada jendela perpindahan kedua selain daripada Andik serta Amri yang dibawa daripada pasukan Melaka United.

Seorang lagi pemain import, Victor Astafei tidak dilanjutkan kontraknya.

Berasal dari Madrid, Segovia juga pernah beraksi bersama Rayo Vallecano dalam saingan La Liga sebelum berkelana ke beberapa kelab di Eropah termasuk Honved di Hungary dan Poli Timisoara di Romania.

Kelab terakhir beliau adalah Kitchee di Hong Kong. Beliau beraksi selama dua musim sejak Januari 2016.

Sementara itu, Razman enggan membandingkan Segovia dengan bekas-bekas penyerang import Gergasi Merah sebelum ini kerana setiap pemain memiliki kelebihan dan teknik tersendiri.

“Saya tidak mahu membuat perbandingan tetapi berdasarkan pengalaman saya, dia boleh menyerlah asalkan segera menyesuaikan diri dengan saingan Liga M,” kata pemain pertahanan berusia 33 tahun itu.

=EZY=