Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Redah laluan banjir 1KM, sukerelawan UNISEL bantu mangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21: Universiti Selangor (UNISEL) menggerakkan 40 sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan banjir di Hulu Langat, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISEL, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, seramai 40 sukarelawan terlibat bagi menjayakan misi itu.

Katanya, pengisian aktiviti adalah membersihkan kawasan bekas banjir di rumah penduduk setempat, balai raya, pusat pemindahan, sekolah dan masjid terlibat.

“Walaupun ketika ini pelajar-pelajar UNISEL sedang dalam sesi cuti semester, namun sukarelawan ini mengambil inisiatif untuk membantu atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial mereka.

“Usaha ini seiring keberkatan Ramadan dan inisiatif berterusan UNISEL untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya yang terkesan dengan fenomena banjir baru-baru ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menceritakan detik misi bantuan dijalankan, Dr Shaharuddin berkata sukarelawan terpaksa berjalan sejauh satu kilometer ke tapak lokasi bekas banjir selepas laluan utama terpaksa ditutup.

“Kami menghantar sebuah bas untuk ke tapak lokasi namun apabila sampai, kami dimaklumkan laluan utama sudah ditutup kerana jambatan utama di sana sudah runtuh.

“Pada masa sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan. Justeru, sukarelawan mengambil inisiatif untuk berjalan kaki bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sementara itu, misi bantuan banjir itu dijalankan secara bersama Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) dan Adab Youth Garage (AYG).

=EZY=