Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM109 juta diperuntuk Projek Pembangunan Islam di Daerah Gombak

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 4 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM109 juta bagi membiayai projek pembangunan Islam di Daerah Gombak.

Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim, berkata projek itu melibatkan pembinaan empat buah masjid baru, satu projek naiktaraf masjid, satu projek pembinaan Kompleks Islam Gombak, satu Mahkamah Syariah dan sekolah-sekolah rendah agama.

“Semoga dengan pembinaan dan menaiktaraf masjid serta sekolah rendah agama (SRA) dan pelbagai kemudahan umat Islam di Daerah Gombak ini dapat memenuhi keperluan dan memberi manfaat serta dapat digunakan sepenuhnya untuk kebaikan bersama,” kata Amirul Azizan.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapannya di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, petang semalam.

Jelasnya, peruntukan itu melibatkan projek pembinaan Masjid Zakaria dengan kos RM14 juta, Masjid Ukay Perdana (RM10 juta), Masjid Tun Teja, Rawang (RM10) juta dan Masjid Klang Gate (RM19 juta).

Sementara itu Masjid Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang pula akan dinaiktaraf dengan kos RM7 juta.

Katanya, projek pembangunan lain di Daerah Gombak adalah pembinaan Kompleks Islam Gombak dan Mahkamah Syariah Gombak di Bandar Baru Selayang yang membabitkan kos RM30 juta dan beberapa SRA di Seri Kundang dan Bandar Country Homes dengan kos RM19 juta.

=EZY=