Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Skim Peduli Sihat: DUN luar bandar lebih aktif

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru mencatatkan jumlah ahli aktif tertinggi menyertai Skim Peduli Sihat di Selangor dengan 6,901 peserta daripada 56 DUN.

Sehingga 30 Mei 2017, DUN Meru mengatasi DUN Dengkil yang merekodkan 6,653 ahli aktif di tempat kedua sementara DUN Sungai Panjang dengan 6,647 ahli.

Berdasarkan rekod ini, Skim Peduli Sihat sudah menerima 178,513 permohonan dengan 155,677 daripadanya sudah diluluskan.

170410 peduli sihat-01Daripada baki 22,836 permohonan itu, 18,397 permohonan masih di proses sementara 4,449 ditolak.

Statistik itu menunjukkan Skim Peduli Sihat ini lebih mendapat tempat dalam kalangan penduduk luar bandar berbanding kawasan bandar.

Perkara itu dibuktikan apabila DUN Kampung Tunku mempunyai ahli aktif terendah seramai 250 peserta diikuti DUN Kota Alam Shah (394 ahli) dan DUN Damansara Utama (401 ahli).

Skim Peduli Sihat menawarkan dua pelan iaitu keluarga dan individu, seramai 131,918 keluarga dengan pecahan 85.02 peratus sudah didaftarkan sebagai ahli manakala hanya 23,357 atau 14.98 peratus daripadanya adalah individu.

Bangsa Melayu mengetuai jumlah ahli berdaftar seramai 97,940 peserta dengan peratusan 63.08 peratus diikuti India, 31,069 peserta (20.01 peratus) dan Cina 25,108 peserta (16.17 peratus) sementara Lain-lain seramai 1,153 orang.

Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terus menjadi tumpuan buat orang awam mendaftar apabila merekodkan 133,816 pendaftaran diikuti pendaftaran menerusi atas talian (online) dengan 15,228 manakala Khas merekodkan 6,231 pendaftaran.

28.02 Peduli Sihat Kajang (ASRI)Disamping itu, 764 permohonan klinik menjadi panel berdaftar dengan Skim Peduli Sihat sudah diluluskan sementara 161 yang lain masih dalam proses.

Tiga penyakit menjadi diagnosis utama adalah jangkitan kuman pada salur pernafasan bahagian atas dalam istilah perubatan dipanggil Upper Respiratory Tract Infection (URTI), demam dan batuk.

Sejak mula diperkenalkan 24 Januari 2017 sejumlah RM843,102 bayaran tuntutan sudah dibuat dengan 17,905 tuntutan.

DUN Dengkil merekodkan tuntutan tertinggi sebanyak RM62,813 daripada 1,412 jumlah pesakit diikuti DUN Bukit Melawati (RM41,613) dan DUN Sungai Panjang (RM34,789).

Sementara Dun Kampung Tunku, Kota Alam Shah dan Damansara Utama masing-masing menduduki tiga tangga terbawah dalam senarai jumlah tuntutan mengikut DUN dengan nilai dibawah RM1,000.