Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid An-Nur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid An-Nur di Glenmarie, di sini sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya.

Masjid yang mula dibina pada 9 Disember 2014 itu siap digunakan pada penghujung Mac lalu dengan kos RM12.3 juta.

Bercirikan reka bentuk moden Islamik kontemporari, masjid itu boleh memuatkan sehingga 4,000 jemaah dalam satu masa.

Masjid An-Nur adalah antara hasil komitmen berterusan syarikat I&P Group ke arah pembangunan komuniti dan keperluan rakyat yang memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Hadir sama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan I&P Group, Yuslina Mohd Yunus.

IMG_20170602_193958Sementara itu, Pengerusi I&P Group, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, masjid itu diharapkan mampu berperanan sebagai pusat komuniti komprehensif bagi menampung pelbagai aktiviti masyarakat.

“Membawa maksud ‘cahaya’ atau ‘sinar’ dalam bahasa Arab, Masjid An-Nur dapat dimanfaatkan dan digunakan secara aktif sepenuhnya penduduk sekitar Temasya Glenmarie bagi majlis keagamaan atau sebarang aktiviti yang memberi kebaikan serta faedah,” katanya.

Lengkap dengan kemudahan dua unit kuaters imam dan dua kuaters bilal, ia turut dilengkapi rumah tamu, asrama tahfiz dua tingkat, pondok wakaf serta gelanggang badminton.