Categories
KENYATAAN MEDIA

Tambahan GST, pengusaha restoran bakal naikkan harga makanan

OLEH WILLIAM LEONG

Saya ambil maklum bahawa dikatakan terdapat lebih 60 jenis barangan makanan yang akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 01 Julai nanti.

Antara jenis makanan yang akan dikenakan GST ialah makanan laut tertentu (termasuk belut, ikan todak), sayur-sayuran (termasuk kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis), buah-buahan import (termasuk avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri), teh, kopi, rempah dan mee (termasuk bihun, kuey teow, laksa mee) dan minyak kelapa.

Adakah barang-barang yang dinyatakan jarang digunakan oleh orang ramai?

Kerajaan Umno BN dilihat secara perlahan membawa keluar satu per satu barang-barang keperluan rakyat daripada senarai barang yang dikecualikan daripada GST.

Saya secara tegas membantah tindakan kerajaan Umno BN yang mengenakan GST terhadap barangan makanan yang dinikmati kebanyakan orang seperti mee.

Sudah pasti peniaga kedai makanan tiada pilihan selain menaikkan harga makanan yang dijual di warung atau restoran setelah barangan ini dikenakan GST nanti?

Manakala perbelanjaan harian keluarga akan bertambah terhadap peningkatan kos perbelanjaan bulanan ekoran peningkatan harga barangan makanan ini.

GST sememangnya suatu cukai yang tidak adil apabila rakyat yang berpendapatan rendah di luar lingkungan pendapatan turut menjadi mangsa untuk membayar cukai itu.

Kerajaan Umno BN sudah terlalu bermasalah dalam pengurusan kewangan negara sehinggakan terpaksa mengutip wang orang miskin melalui pembayaran GST ke atas orang miskin.

# William Leong adalah Ahli Parlimen Selayang