Categories
KENYATAAN MEDIA

Tidak perlu nafi sahaja, samanlah jika tidak betul

OLEH: Aminuddin Harun

Saya ambil maklum kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang meminta rakyat negara ini agar tidak mempercayai portal Sarawak Report.

Semua sedia maklum bahawa kebebasan media di negara ini sering dinafikan haknya sehingga dimonopoli oleh kerajaan Umno BN sahaja.

Malah sehingga saat ini, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Shafee Abdullah belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengulas dakwaan Sarawak Report mengenai isu RM9.5 juta.

Bukankah pendedahan salahlaku yang sering disiarkan media luar itu turut disertakan dokumen bukti tetapi menteri sering menafikannya dengan pakai ‘air liur’ sahaja.

Bagaimana rakyat hendak percaya? Jika tidak benar, samanlah. Sampai bila rakyat di negara ini hendak diperbodohkan?

Bagaimana pula dengan laporan oleh Wall Street Journal (WSJ) bahawa kerajaan Amerika Syarikat merampas kondominium mewah di London yang didakwa dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sendiri telah memfailkan saman pada 7 Jun lalu untuk merampas hartanah yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang dirompak daripada 1MDB.

Ini kes yang sering diwar-warkan dan menjadi bualan hangat di luar negara, tetapi di dalam negara sendiri ‘tutup buku’.

Rakyat hendak percayakan siapa?
* Aminuddin Harun adalah ADUN Sikamat & Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan Parti KEADILAN Rakyat