Categories
SELANGOR

27 tan beras rezeki penduduk Tanjong Karang

SHAH ALAM, 27 JULAI: Tumpahan beras kira-kira 27 tan yang dibawa sebuah treler dalam satu kejadian di Jalan Tali Air 3, Tanjong Karang, malam tadi, ‘menarik’ perhatian penduduk setempat yang berpusu-pusu mengutipnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tumpahan beras itu pada jam 10.55 malam dan tiba lima minit kemudian.

BERASKatanya, treler yang membawa muatan 40 tan beras dari arah Sitiawan, Perak menuju ke Senai, Johor itu bagaimanapun tidak terbabit dalam sebarang kemalangan.

Insiden berkenaan kemungkinan berlaku disebabkan keadaan permukaan laluan tidak rata ekoran kerja menambah baik jalan raya itu sedang dilakukan.

“Ketika jentera tiba, ramai penduduk setempat sedang berusaha membersihkan jalan raya menggunakan penyedok, namun tumpahan beras itu terlalu banyak.

“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam membersihkan jalan itu dengan cara menyembur air untuk mempercepatkan proses,” katanya memetik BERNAMA, hari ini.

Kejadian tumpahan beras di jalan raya dua lorong itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.