Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

38,000 peserta Hijrah Selangor terima manfaat RM232 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JULAI: Program Mikrokredit Hijrah Selangor memperuntukkan bantuan permulaan modal niaga sebanyak RM232 juta kepada 38,000 peserta bagi tempoh sehingga suku tahun kedua pelaksanaan skim itu.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, jumlah itu hampir mencapai sasaran awal 56,000 peserta bagi tempoh berakhir hujung 2017.

“Skim ini pinjaman mikrokredit ini berjaya dilaksanakan bagi memenuhi visi Kerajaan Negeri Selangor di bawah dasar pembaharuan Dato’ Menteri Besar.

“Sudah tentu sepanjang pelaksanaannya, sudah banyak kejayaan diraih dan perkembangan ini merupakan landasan terbaik untuk melebarkan pendapatan kelas menengah.

“Pelaksanaan skim ini juga dilihat berupaya bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menangani isu kemiskininan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau ditemui pada Program Rumah Terbuka Aidilfitri Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mansor Othman berkata, yayasan itu giat menjalankan pemantauan secara dekat bagi mengatasi isu kegagalan pembayaran semula skim pinjaman permodalan perniagaan itu.

“Untuk tahun ini kita mengalami sedikit penurunan sekitar 80 peratus sahaja jumlah pembayaran balik khususnya di kawasan bandar seperti Ampang dan Pandan Indah.

“Justeru bagi mengatasi masalah ini, kita kerap turun padang dan mengadakan perbincangan secara dekat bersama pejabat zon seluruh negeri.

“Kita harap pemantauan secara dekat di samping kajian menyeluruh ini dapat mengenalpasti sebarang kaedah dan punca bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Sebelum ini, Hijrah Selangor adalah program Mikrokredit Bersepadu di bawah gagasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengabungkan SKIM SEL, MIMBAR dan WALA yang dilaksanakan sejak 2008.

Program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu merupakan Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang memberi tumpuan bagi meningkatkan pendapatan ekonomi golongan pertengahan.

=EZY=