Categories
SUKANKINI

AFC B-23: Malaysia tumbangkan Mongolia 2-0

KUALA LUMPUR 23 JULAI: Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Mongolia 2-0 pada kempen kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Keputusan itu sudah pasti melegakan pengendalinya Datuk Ong Kim Swee yang sedar hanya kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan H itu dapat membuka peluang skuad negara layak ke pusingan akhir kejohanan di China, Januari tahun depan.

Turun dengan misi wajib menang di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, anak didik Kim Swee dilihat lebih mendominasi permainan dengan melakukan beberapa percubaan ke kubu Mongolia sebaik perlawanan dimulakan.

Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan dalam melakukan penyudah berkesan menyaksikan babak pertama berkesudahan seri tanpa jaringan.

Hanya enam minit selepas bersambung babak kedua, N Thanabalan menceriakan skuad negara apabila meledak gol yang dicari pada minit ke-51, hasil percubaan jarak dekat.

Jaringan itu jelas memberi tonik buat ‘Harimau Muda’ terus menambah jaringan, namun gagal menemui penyudah walaupun mendapat beberapa peluang.

LAYAKKubu Mongolia akhirnya bolos buat kali kedua pada minit ke-86 selepas rembatan padu Syazwan Andik Ishak menerjah penjuru kiri gawang untuk mengesahkan kemenangan 2-0 skuad negara.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan selepas menang 3-0 ke atas Indonesia dan tewas 0-3 kepada tuan rumah, Thailand sebelum ini.

Skuad bimbingan Kim Swee kini perlu mengharapkan tuan rumah, Thailand, seri atau kalah berdepan Indonesia sebentar lagi untuk layak secara automatik selaku juara kumpulan.

SUMBER: BH ONLINE