Categories
GLOBAL

Beribu-ribu hektar hutan California terbakar

LOS ANGELES 11 JULAI: Kebakaran hutan marak dan merebak dengan pantas, membakar beribu-ribu hektar cerun dekat pantai tengah California, kata beberapa pegawai semalam ketika suhu tinggi dan tanaman kontang mencetuskan berpuluh-puluh kebakaran di bahagian Barat dan Barat Daya Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) berkata, kebakaran itu yang dikenali sebagai Kebakaran Alamo telah memusnahkan 9,672 hektar hutan di sempadan antara daerah San Luis Obispo dan Santa Barbara, beberapa kilometer dari bandar Santa Maria.

Jumlah itu meningkat berbanding 7,689 hektar kawasan yang musnah pa­da Sabtu lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Menurut Cal Fire, kira-kira 15 kebakaran itu berjaya dipadamkan menjelang petang kelmarin.

DEao2IbWsAA5CnN“Setakat ini, sebuah struktur hangus dijilat api, manakala 130 lagi terancam,” kata Cal Fire dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu lepas, beratus-ratus orang diarahkan mengosongkan ngarai-ngarai di pedalaman yang terjejas akibat Kebakaran Alamo.

“Beratus-ratus petugas cuba menghentikan api daripada sampai kepada rangkaian tiang elektrik dan kilang wain yang terletak ke arah tenggara,” kata beberapa pegawai pentadbiran Daerah Santa Barbara.

Terdahulu, Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional berkata, Kebakaran Alamo merupakan antara 50 kebakaran besar yang gagal dipadamkan di negeri-negeri barat AS.

Negeri California dilanda gelombang cuaca panas terik sejak beberapa hari lalu.

Seramai 140,000 penduduk Los Angeles terputus bekalan elektrik apabila sebuah stesen jana kuasa di California terbakar pada Sabtu lepas, manakala suhu panas melebihi 32 darjah Celsius direkodkan di negeri itu selama dua hari berturut-turut.

=EZY=