Categories
PBT SELANGOR

Buang sampah haram, MPSJ keluar 48 kompaun

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 21 JULAI: Sebanyak 48 kompaun dan sebuah kenderaan disita Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada pihak yang membuang sampah haram di lokasi awam dari awal tahun hingga Mei lalu.

Pemangku Yang Dipertuanya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, 20 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (UUK PPPS) MPSJ 2007 kerana membuang sampah di tempat awam.

“Manakala, 17 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 6 ekoran kegagalan perniagaan menyediakan tong sampah di premis perniagaan.

“MPSJ turut mengeluarkan 11 kompaun di bawah Seksyen 12 kepada pihak yang membuang sampah industri dan sisa bahan dagangan di lokasi larangan,” katanya.

Beliau berkata, MPSJ akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti berkenaan.

Terdahulu, MPSJ memaklumkan penduduk di kawasannya membuang sampah kira-kira 500 tan sehari.

Manakala, RM8 juta setahun dibelanjakan hanya untuk kerja pengurusan sampah.