Categories
SELANGOR

Fasa kedua Hijrah Selangor tingkat modal pengusaha IKS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JULAI: Fasa kedua pelaksanaan Skim Mikrokredit Hijrah Selangor giat dijalankan bagi memberi nilai tambah kepada peserta di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peserta diberi peluang meningkatkan modal perniagaan sebagai inisiatif merapatkan jurang ekonomi golongan kelas pertengahan.

“Memang matlamat asal di peringkat Kerajaan Negeri untuk bantu sekurangnya 56,000 peniaga IKS dan dalam tempoh dua tahun ini kita dapat lihat keberkesanannya mampu direalisasikan.

“Sehingga kini, sebahagian besar peserta sudah memasuki fasa pembayaran balik dan mereka diberi peluang meningkatkan modal perniagaan hasil kejayaan program ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Azmin berkata, beliau kekal optimis pelaksanaan skim berkenaan akan lebih berdaya saing, sekali gus membuktikan komitmen pentadbiran negeri membantu pengusaha dan usahawan seluruh negeri.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, RM173 juta diperuntukan sepanjang tempoh tahun kedua pelaksanaan skim berkenaan diwujudkan di negeri ini.

CP2A0537-1024x683Di peringkat Kerajaan Negeri, inisiatif berkenaan menyasarkan kumpulan ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), graduan universiti yang akan dibantu menerusi skim mikrokredit bagi menjana lebihan pendapatan melalui aktiviti permodalan tambahan bagi memajukan perniagaan.

Untuk rekod, Hijrah Selangor adalah program berkebajikan di bawah gagasan Dato’ Menteri Besar dengan menggabungkan SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang dibangunkan semula sejak 2008.

Terdahulu, Mohamed Azmin ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hijrah Selangor di ibu pejabat Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, petang ini.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Dato’ Teng Chang Khim dan Amiruddin Shari.