Categories
SELANGOR

Jambatan Sungai Jelok ditutup untuk naik taraf

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 26 JULAI: Jambatan Sungai Jelok, di sini, akan ditutup selama lima bulan bermula esok untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu dijangka akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kesulitan kepada orang ramai.

Katanya, kontraktor diarah menyediakan notis makluman dan memasang sepanduk sekurang-kurangnya di 25 kawasan strategik seperti sekolah, pasar, hotel, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan simpang jalan utama berkaitan untuk makluman awam.

“Pengguna jalan raya berkenderaan ringan dari arah Jalan Bukit ke Kajang atau dari Kajang ke Jalan Bukit masih boleh ke destinasi dinyatakan menggunakan laluan alternatif.

“Antara laluan alternatif ialah jambatan di Pasar Besar Kajang dan Jambatan di Metro Point, melalui Jalan Changkat di hadapan Restoran Paparich atau pun melalui Jalan Bukit Indah, melalui Balai Bomba ke Jalan Semenyih,” katanya.

Manakala, bagi pengguna kenderaan berat perlu menggunakan laluan alternatif lain seperti jalan susur ke Jalan Bukit melalui Lebuhraya Kajang- Silk atau menggunakan Jalan Semenyih.

“Pengguna jalan raya juga disarankan sentiasa peka dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak.

“Kerja menaik taraf Jambatan Sungai Jelok akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya pada masa hadapan di samping menjayakan program tebatan banjir di Bandar Kajang,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi JKR Hulu Langat di talian 03-89114040 untuk sebarang pertanyaan.

Kerja menaik taraf itu membabitkan pengalihan utiliti Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta JKR Hulu Langat pula akan melaksanakan kerja menaik taraf jambatan sedia ada dari dua lorong kepada empat lorong serta laluan pejalan kaki.

Kerja pengalihan paip Air Selangor dan kabel TNB serta kabel TM Fibre Optic sedia ada dijangka siap dialihkan pada 1 September ini, manakala projek menaik taraf jambatan itu pula dijangka siap sepenuhnya pada 1 Januari 2018.