Categories
SUKANKINI

Jerman julang kejuaraan B-21 Eropah, benam Sepanyol 1-0

KRAKOW, POLAND 1 JULAI: Mitchell Weiser meledak gol tunggal menerusi tandukan untuk menghadiahkan Jerman trofi Kejuaraan Bawah 21 tahun (B-21) Eropah selepas membenam Sepanyol 1-0, awal pagi tadi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan aa adalah gelaran kedua Jerman dalam kejohanan di peringkat umur susulan kejayaan sama pada 2009 ketika Sepanyol gagal menambah koleksi kejuaraan buat kali keempat.

Berpunca daripada hantaran menarik pertahanan kanan, Jeremy Toljan, Weiser yang juga pemain sayap kelab Bundesliga, Hertha Berlin melakukan tandukan cantik yang gagal dibaca penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga pada minit ke-40.

“Gol itu menjadikan segala-galanya menjadi amat sukar,” kata jurulatih Sepanyol, Albert Celades yang juga bekas pemain tengah Real Madrid dan Barcelona.

“Separuh masa pertama adalah kunci kepada kami, kami cuba melakukan segala-galanya pada babak kedua namun kami kesuntukan masa.
“Sudah tentu kami kecewa, ia adalah final namun Jerman adalah pasukan yang menakjubkan…. bermain bola sepak yang amat baik.”

Sepanyol menempah tiket ke final selepas meraih empat kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan dan kalah mati dengan Celades menurunkan barisan yang sama ketika pasukannya menang 3-1 ke atas Itali pada aksi separuh akhir.

Jerman dalam pada itu mara ke final selepas menewaskan England menerusi penentuan penalti di separuh akhir.

“Kami percaya di final semua pemain boleh mengeluarkan 100 peratus prestasi mereka dan ia adalah tepat,” kata pengendali Jerman, Stefan Kuntz.

SUMBER BERITA: AFP

GAMBAR: REUTERS

=EZY=