Categories
GLOBAL

Kapal peronda Amerika tembak amaran kapal Iran

WASHINGTON 26 JULAI: Kapal peronda Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan amaran ke arah kapal Pengawal Revolusi Iran di Teluk ketika ia mendekati kapal AS itu.

Bedilan dilepaskan selepas kapal Iran berada dalam lingkungan 137 meter dari USS Thunderbolt dan gagal memberi tindak balas terhadap usaha berterusan menghubunginya menerusi radio, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kapal berkenaan dilapor mengabaikan suar amaran dan siri tiupan wisel, kata tentera laut dalam kenyataan.

“Tindakan kapal Iran tidak mematuhi pengiktirafan antarabangsa peraturan di laluan atau adat maritim yang diiktiraf antarabangsa, mencetuskan risiko berlaku pertembungan,” kata kenyataan itu.

Ia turut menegaskan Iran melakukan interaksi tidak selamat dan tidak profesional.

Tentera Laut menyiarkan video menunjukkan sebahagian kejadian itu, dengan dua tembakan mesingan kedengaran.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan di utara Teluk.

Selepas kapal AS melepaskan tembakan amaran, kapal Iran berhenti, kata pegawai.

Pengawal Revolusi mendakwa AS melakukan provokasi dan berkata kapal AS itu yang belayar mendekati mereka.

“Pengawal Revolusi tidak memberi perhatian kepada tindakan tidak profesional dan provokatif lalu meneruskan misi.

“Kapal AS meninggalkan kawasan itu tidak lama kemudian,” kata tentera laut unit itu dalam kenyataan.

=EZY=