Categories
SELANGOR

Lebih 96,000 Rumah Selangorku lulus sejak 2014

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Sebanyak 96,832 unit Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri sejak mula diperkenalkan, pada 2014.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, 1,054 unit daripadanya sudah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli.

Manakala, katanya, 22,655 unit pula masih dalam proses pembinaan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri memandang serius kepada pemaju yang mendapatkan kelulusan untuk membina Rumah Selangorku tetapi gagal mengambil tindakan selanjutnya.

“Ekoran itu, kelulusan bagi projek berkenaan akan dibatalkan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

ISKANDAR SAMADBeliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung perkembangan status projek Rumah Selangorku sehingga kini.

Iskandar berkata, pemaju antara lain gagal mengemukakan permohonan untuk Kebenaran Merancang (KM), Pelan Bangunan (PB) dan tidak memulakan pembinaan.

Pada 2014, sebanyak lima projek membabitkan 2,732 unit gagal mendapatkan KM, lapan projek dengan 2,625 gagal mendapatkan PB, manakala enam projek dengan 1,513 unit tidak memulakan pembinaan.

Pada 2015, sebanyak 22 projek dengan 18,544 unit gagal peroleh KM, 31 projek dengan 14,736 unit tidak ada PB dan lapan projek membabitkan 7,813 unit juga tidak memulakan pembinaan.