Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Ketepikan dongeng Umno, kita ada kejayaan Selangor & Pulau Pinang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA KANGSAR, 22 JULAI: Jika sebelum ini pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) sering menjadikan ‘pengalaman’ sebagai modal untuk mereka menakutkan rakyat supaya rakyat mengekalkan mereka sebagai kerajaan.

Menurut mereka, rakyat harus menolak pembangkang kerana tidak berpengalaman menguruskan negara seperti mana ‘kelebihan’ yang ada pada mereka.

Bagaimanapun Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, Umno-BN hari ini terpaksa berfikir berkali-kali sebelum membangkitkan isu ‘kelebihan’ pengalaman dimiliki mereka kepada rakyat.

“Dulu mereka kata kita tidak boleh mengurus negara atau negeri kerana tidak ada pengalaman tetapi idea itu sudah tidak boleh dipakai lagi kerana kita membuktikan sebaliknya yang berlaku.

“Ketepikan dongeng Umno itu kerana kita ada kisah-kisah kejayaan Selangor dan Pulau Pinang. Mereka kata saya tidak ada pengalaman, betul kerana saya tidak mempunyai pengalaman menyeleweng dana rakyat 1MDB seperti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Aidilfitri ke Perak dan Pahang di Jambatan Kota Lama Kanan di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaliknya pihak yang mendakwa diri mereka lebih berpengalaman telah menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit dan sekaligus meletakkan rakyat di dalam keadaan menanggung hutang ciptaan mereka.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan tidak mempunyai masalah untuk memilih pemimpin kerana dibarisi oleh pemimpin berkaliber dan berpengalaman.

Selain beliau berpengalaman berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, Pakatan turut memiliki dua bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Pakatan turut dianggotai Menteri Besar Selangor, Ketua Menteri Pulau Pinang, dan bekas Menteri Besar Perak.

=EZY=