Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Noh Omar main politik sempit

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar dilihat seperti sengaja memainkan sentimen politik sempit dalam isu pengambilalihan pengurusan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal, di Seksyen 21, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa akur dan menghormati keputusan mahkamah bahawa kontrak untuk Worldwide Holdings Berhad (WHB) beroperasi di situ sudah tamat.

Katanya, WHB juga sudah mengosongkan premis berkenaan dan bertindak seperti diarahkan mahkamah.

“Jadi, apa masalahnya dan perlukah Noh bangkitkan lagi isu itu sebab mahkamah dah putuskan. Ia jelas satu refleks tindakan tidak bertanggungjawab Noh kerana ia tidak pernah berlaku ketika menteri lain.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (3)“Dato’ Rahman Dahlan misalnya sebelum ini tidak timbul masalah kerana tanah itu tanah kerajaan, kemudahan dibina KPKT dan disewakan kepada WHB,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Selangor 2016, di sini, semalam.

Terdahulu, Noh mendakwa tindakan Kerajaan Negeri mempertikaikan surat tidak sambung kontrak sebagai bersifat politik.

Mohamed Azmin berkata, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang juga dilihat sengaja mensabotaj Kerajaan Negeri supaya tiada tempat untuk membuang sampah.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun mempunyai pelan tindakan dan tiga Pihak Berkuasa Tempatan terbabit sudah diarahkan untuk membuang sampah di tempat lain.

“Jika dia tidak bagi buang di situ, tidak mengapa. Tetapi apa tujuan kemudahan itu dibina dan sampah apa Noh nak buang di situ sekarang?

“Ia sangat bermotifkan politik dan satu lagi tindakan tidak bertanggungjawab oleh Nor Omar,” katanya.