Categories
AGAMA SELANGOR

MBI serah insentif RM111,500 kepada 223 bakal haji DUN Kota Anggerik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan Negeri menyerahkan insentif berjumlah RM111,500 kepada 223 bakal haji dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik tahun ini.

Insentif kepada jemaah haji muassasah dari Selangor khususnya DUN berkenaan disalurkan menerusi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan setiap seorang daripadanya mendapat RM500.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, berkata sumbangan diberikan Kerajaan Negeri itu adalah hasil pencapaian baik dalam ekonomi menerusi amalan pentadbiran penuh bertanggungjawab dan telus.

“Kepedulian Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat terbukti menerusi pelbagai skim dilaksanakan dalam program Inisiatif Peduli Rakyat.

“Dengan pencapaian ekonomi yang kukuh maka Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memutuskan mengagihkan insentif melalui MBI kepada jemaah haji muassasah Selangor tahun ini,” katanya.

HAJI MBIBeliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Insentif MBI kepada Bakal Jemaah Haji dan Sambutan Aidilfitri di Masjid Nahdhah Al-Islam, Seksyen 18 di sini, malam tadi.

Selain insentif itu, MBI turut mengagihkan cenderahati berupa kain ihram dan telekung kepada semua bakal jemaah haji berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

Dr Yaakob berkata, semoga sumbangan itu digunakan sebaiknya oleh jemaah haji selain dapat menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

=EZY=