Categories
PBT SELANGOR

MDKL sita lori buang sisa di tapak sampah haram

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita sebuah lori yang sedang membuang sisa tanah kotor di tapak pelupusan sampah haram dalam satu operasi di Lorong Jaya Sepakat 2 dan 3, Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya melaksanakan pemantauan dan intipan dengan mendapati terdapat tiga tapak pelupusan sampah haram di kawasan terbabit.

“Pembuangan sampah di kawasan itu hanya dikenakan bayaran RM15 bagi setiap lori.

“Kebejatan sikap dan kedegilan mereka dilihat sebagai satu ancaman kepada kemusnahan alam sekitar, tatkala pelbagai pihak serta agensi bertungkus lumus memelihara serta mengekalkan kelestariannya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penganjur tidak bertanggungjawab dikenakan dua notis kesalahan dan dua notis pemberitahuan iaitu arahan memberhentikan aktiviti serta merta di bawah Undang-undang Kecil 4, UUK Pembuangan, Pemungutan, dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKL 2007).

Sementara katanya, lori yang disita boleh dituntut semula dalam tempoh sebulan dari tarikh kenderaan terbabit disita.

“MDKL berharap seluruh penduduk di daerah itu dapat bersama membendung dan membanteras gejala pembuangan sampah haram daripada terus berleluasa dengan menyalurkan maklumat terus kepada kami bagi memastikan daerah Kuala Langat kekal sebagai indah juga harmoni,” katanya.

1 4 8