Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Noh fitnah isu bomba, Selangor tawar 75 peratus kadar premium

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri menawarkan 75 peratus diskaun kadar premium bagi kedua-dua tapak Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri bersedia menanggung liabiliti sebagai bukti komitmen peduli rakyat dizahirkan pentadbiran negeri kini.

“Pemberian diskaun sebanyak 75 peratus bagi kedua-dua tapak untuk Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil/pendapatan berjumlah RM22,187,500.00.

“Namun, demi rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menanggung kehilangan hasil itu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, penilaian harga pasaran untuk tanah diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan termasuk tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra dinilai oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Untuk rekod, penilaian dibuat di bawah kawalan jabatan kerajaan di Kementerian Kewangan Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mendakwa, kononnya pentadbiran negeri mengenakan kadar premium tinggi bagi pembinaan kedua-dua premis berkenaan.

Menafikan perkara itu, Mohamed Azmin berkata, dakwaan berkenaan disifatkan sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas bagi memburukkan imej Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri amat kesal dengan dakwaan Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri telah mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

“Dakwaan ini adalah satu fitnah dan tuduhan tidak berasas serta tidak beretika,” katanya.

Sebelum ini, tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra asalnya merupakan tanah milik pemaju yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Perancang.

Tapak tersebut seterusnya dimohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara untuk kegunaan tapak Balai Bomba dan Penyelamat.

Pada masa sama, Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemberimilikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan adalah dengan balasan bayaran premium yang sama banyak dengan nilai pasaran.

https://selangorkini.my/2017/07/tapak-balai-bomba-penyelamat-setia-alam-bukit-rahman-putra/

=EZY=