Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Penyokong taruh harapan PKNS FC kembali mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JULAI: Penyokong PKNS FC berharap tindakan pengurusan merehatkan Ketua Jurulatih, E Elavarasan akan membawa impak positif dan kelab kembali mencabar dalam baki saingan Liga Super, musim ini.

Dalam satu kenyataan, Kelab Penyokong PKNS FC menaruh harapan perubahan dilakukan pengurusan akan membuahkan hasil seperti disasarkan kelab berkenaan.

“Semoga PKNS FC kembali bangkit,” katanya.

Semalam, pengurusan kelab PKNS FC membuat keputusan merehatkan Elavarasan, berkuat kuasa serta merta.

Tugas terbabit akan dipangku pembantu jurulatih, Adam Abdullah sehingga Ketua Jurulatih baru dikenal pasti kelak.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan skuad PKNS FC dapat kembali bersaing dan keluar dari zon penyingkiran ke Liga Perdana, seterusnya kekal di Liga Super, pada musim 2018.

PKNS VS MELAKA (6)“Dalam saingan Piala Malaysia 2017, pihak pengurusan kelab juga menetapkan untuk layak ke peringkat suku akhir dan seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, Elavarasan menyertai pasukan pada 2015 dan membawa pasukan The Red Ants kembali ke Liga Super 2017 setelah menduduki tangga kedua Liga Perdana, pada 2016.

Selepas 14 perlawanan, PKNS FC menduduki tangga kesepuluh liga dengan 12 mata hasil dua kemenangan, enam seri dan enam kalah.

Dua kemenangan dicatat adalah pada Februari lalu ketika bertemu Selangor (5-3) dan Perak (3-0).

PKNS FC turut memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah hampa apabila tewas 0-2 kepada Perak dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Ipoh, pada 4 Julai lalu.