Categories
SUKANKINI

Red Giants tewaskan Terengganu 3-2

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

KUALA TERENGGANU 29 JULAI: Tekad dan usaha pasukan bola sepak Selangor terus berjuang tidak menyerah kalah membuahkan hasil apabila berjaya menewaskan Terengganu 3-2 dalam Perlawanan TM Piala Malaysia di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Keputusan itu menjadikan Selangor menempah tiket awal ke suku akhir apabila penyerang gantian, Rufino Segovia del Burgo muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi gerakan serangan balas pantas pada masa kecederaan.

Terengganu memperolehi gol awal pada minit ke-23 menerusi menerusi Ismail Faruqi yang menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas Norazlan Razali.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa kedua pada minit ke-51 menerusi pemain import Francis Forkey Doe melalui sepakan percuma yang menerjah jaring.

Pada minit ke- 56, Red Giants mendahului kedudukan menerusi Syahmi Safari yang menanduk masuk sepakan percuma kapten Raimi Md Nor‬.

Tersentak dengan kedudukan itu, Terengganu berusaha menyamakan kedudukan yang akhirnya diperolehi pada minit ke-78 menerusi tandukan Tchetche Kipre hasil hantaran Adib Aizuddin‬.

Usaha tidak berputus asa Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan gol kemenangan pada masa tambahan menerusi Rufino yang berlari dari tengah padang sebelum melepaskan sepakan menewaskan Suffian Abd Rahman.

Dengan keputusan itu meletakkan Selangor di tempat pertama kumpulan D dengan mengumpul 10 mata,  manakala JDT di tempat kedua dengan tujuh mata manakala Terengganu di tempat ketiga dengan tiga mata.

Keputusan Penuh Piala Malaysia

 KUALA LUMPUR: Keputusan penuh saingan Piala Malaysia.

N Sembilan 2 (Farderin m10, Khairul Anwar m35) Pahang 1 (Jae-won m87)

K Lumpur 1 (De Paula m90) FELDA Utd 4 (Thiago m28, pen 49, 53, Ifedayo m57)

PKNS FC 1 (Ronaldinho m82) Perak 3 (Pinto m28, Nazrin m61, Gilmar m77)

Melaka Utd 2 (Mohd Azinee Taib m21, Fauzi Roslan m53) Kedah 6 (Fakri m4, Sandro m34, 38, Akram m45, Larsen m76, Akhyar m89)

UiTM FC 2 (Akanni-Sunday m5, 45) Kelantan 0

Terengganu 2 (Ismail Faruqi m23, Tchetche m77) Selangor 3 (Forkey Doe m51, Syahmi Safari m55, Segovia m90)

Sarawak 0 JDT 2 (Ghaddar m41, Safiq m76)

PKNP FC 4 (Hyun-woo m30, Sharel Fikri m39, Hafiz Ramdan m47, Lucas m72) T-Team 1 (N’Djeng m79)