Categories
NASIONAL

Reformasi pentadbiran pulih imej korup negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 JULAI: Reformasi pentadbiran negara yang ditadbir sebuah kerajaan telus dan bersih membolehkan isu penyelewengan dan ketirisan dapat diselesaikan.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution berkata, langkah mengekalkan regim Umno Barisan Nasional hanya meletakkan negara pada tahap lebih buruk.

“Hakikatnya Kerajaan Umno BN, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan GLC dan segelintir penjawat awam kini terlibat dalam gejala yang merugikan negara sendiri.

“Hanya melalui reformasi dan peralihan kerajaan, maka peluang untuk mengatasi masalah ini akan terbuka, dibandingkan dengan mengekalkan Umno BN yang sudah terpalit dengan pelbagai cerita buruk dan isu yang memalukan negara.

“Jika peralihan Kerajaan direalisasikan, rakyat sendiri akan mengetahu pelbagai kes sebelum ini yang tidak diketahui umum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan diberikan mandat untuk mentadbir negara ; individu yang dikaitkan dengan skandal dan penyelewengan akan diheret ke muka pengadilan untuk dikenakan tindakan.

“KEADILAN bertekad untuk menyiasat skandal besar negara terutamanya yang melenyapkan sejumlah wang besar rakyat untuk kemewahan peribadi.

“Penubuhan RCI akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menyiasat kes skandal dengan lebih mendalam,” katanya.

Terdahulu, imej negara terus dicemari pelbagai skandal kewangan dan ketirisan yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Media antarabangsa melaporkan, sejumlah wang daripada dana syarikat milik kerajaan itu digunakan Perdana Menteri bagi tujuan peribadi, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kredibiliti pemimpin negara itu.

=EZY=