Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka DUN Seri Andalas, rai perpaduan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 JULAI: Kemeriahan Syawal diraikan dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas di Kampung Kampung Telok Temegon, di sini.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Xavier Jeyakumar berkata, penganjuran majlis dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang diraikan masyarakat Islam seluruh negara.

“Ini sudah menjadi tradisi bagi DUN Seri Andalas menganjurkan rumah terbuka dan meraikan masyarakat Melayu disamping turut dimeriahkan dengan kehadiran bangsa Cina dan India di Majlis Rumah Terbuka ini.

“Kesepaduan ini merupakan satu petanda baik bahawa hubungan masyarakat Selangor itu kukuh dan perkembangan ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Xavier1“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua terlibat dengan majlis ini dan diharap hubungan baik sesama bangsa ini akan terus menjadi pendorong ke arah persefahaman yang lebih erat lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan majlis yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

Dalam pada itu, selain menyajikan pelbagai jenis juadah makanan untuk pengunjung, majlis turut menyediakan pelbagai aktiviti sesi ramah mesra bersama pimpinan, dendangan lagu-lagu raya dan banyak lagi.

Pada masa sama kaunter permohonan kad Skim Peduli Sihat turut dibuka bagi memberi peluang kepada masyarakat berkelayakan mendapat manfaat daripada skim berkebajikan dilaksanakan di peringkat negeri.

Dalam perkembangan itu, Xavier turut mengedarkan Kad Peduli Sihat kepada lebih 50 pemohon berkelayakan yang sudah mengisi permohonan melalui akses atas talian dan di Pusat Khidmat Seri Andalas sebelum ini.

=EZY=