Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor Bio Bay bermula September

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 20 JULAI: Fasa 1 projek pembangunan berimpak tinggi melalui penghasilan produk bioteknologi dan sains hayat ‘Selangor Bio Bay’ (SBB) mula diperkenalkan pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, pembukaan fasa 1 (A) berkeluasan 160 ekar itu akan membabitkan pembangunan kawasan industri dan perumahan mewah kondominium.

Katanya, pembangunan bercampur itu menampilkan pelbagai kompenan antaranya pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan gaya hidup sihat.

“Pembangunan bagi fasa ini sudah mendapat kelulusan dan kita dalam proses perlaksanaan.

“Sebuah galeri berkenaan projek ini turut dirasmikan untuk orang ramai boleh melihat pembangunan fasa ini nanti,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka CSSB di Ibu Pejabatnya, di sini.

land spectrumMahmod berkata bagi fasa 1, pembangunan SBB akan dibangunkan dengan berkeluasan 300 ekar termasuk kemudahan infrastruktur.

“Sesiapa yang berminat boleh memiliki tanah di sini sekaligus menetap dan menikmati kemudahan yang akan disediakan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, SBB yang dibangunkan merangkumi tiga precint dalam tempoh 20 tahun itu secara berperingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 5.5 bilion.

Beliau berkata pembangunan projek pemangkin membabitkan permainan air seperti perlumbaan bot dan skuter air turut dilaksanakan sebagai elemen gaya hidup sihat.

“Seperti pemaju lain antaranya Sunway, mereka ada Taman Tema Air. Begitu juga dengan UM Land, mereka laksanakan Puteri Harbour. Jadi di Pulau Indah, selain trek basikal projek seperti ini kita juga akan terapkan.

“Pembangunan Bio Bay menghadap pelabuhan di samping kita mewujudkan kondominium, kelab perahu layar untuk menggalakkan sukan air serta beberapa kemudahan mesra alam lain,” katanya.

Selain itu, SBB turut akan merangkumi projek infrastuktur jalan membabitkan pengasingan kenderaan berat dan ringan bermula di Lebuhraya Shah Alam menuju ke Wesport.

Secara keseluruhan SBB akan dibangunkan di Pulau Indah dengan keluasan 1,070 ekar.

Ia adalah kesinambungan kepada pelan perancangan strategik sektor perindustrian seperti di Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Raja menerusi Central Spectrum.

=EZY=