Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruits Valley dijangka raih hasil sehingga RM200 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 9 JULAI: Selangor Fruits Valley (SFV) dijangka mampu mencatat hasil pendapatan sehingga RM200 juta dalam tempoh enam atau tujuh tahun lagi.

Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohamed berkata, SFV mencatatkan hasil sekitar RM7 hingga RM8 juta pada tahun lalu.

Katanya, hasil dijangka meningkat kepada RM20 juta dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Apabila Ladang Durian dan Ladang Gaharu yang sedang dibangunkan mencapai tahap kematangan serta Projek Ikan beroperasi dalam tempoh enam hingga tujuh tahun, hasil SFV pasti lebih melonjak.

“PKPS anggarkan hasil mampu mencapai sehingga RM150 juta atau RM200 juta menerusi SFV dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Agro Pelancongan Selangor Fruits Valley dan Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini, semalam.

IMG_1276Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman dan Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Tamby Omar berkata, aktiviti pajakan kepada Usahawan Tani menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatan keseluruhan SFV sebelum ini.

“Selain memajukan SFV sebagai ladang komersial, PKPS memajak sebahagian kawasan kepada Usahawan Tani sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Penglibatan adalah daripada semua kaum dan ada pengusaha dari Taiwan memperkenalkan teknologi baru penanaman pisang dan lain-lain,” katanya.

=EZY=