Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat: 216,051 ahli sudah terima manfaat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Skim Peduli Sihat (SPS) kini dinikmati 216,051 ahli yang berdaftar setakat 12 Julai lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sebanyak RM1.6 juta peruntukan sudah dibelanjakan bagi tempoh sama.

Katanya, jumlah peruntukan itu berdasarkan amaun tuntutan ke atas perkhidmatan disediakan klinik panel SPS bagi menampung kos rawatan peserta SPS.

DAROYAH DNS“DUN Dengkil mencatatkan keahlian tertinggi iaitu 8,621 peserta; diikuti Meru 8,060; Sungai Panjang 7,354 orang dan Morib 7,045.

“Daripada jumlah itu, seramai 142,558 (66 peratus) terdiri dari kaum Melayu; Cina seramai 31,452 (14 peratus) dan India 40,367 (19 peratus) serta lain-lain 1,675 (1 peratus),” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Dr Daroyah berkata, jumlah permohonan ditolak pula sehingga 12 Julai adalah sebanyak 5,235 permohonan.

Katanya, antara sebab permohonan itu ditolak ialah dokumen sokongan tidak lengkap, gaji melebihi had, tempoh bermastautin tidak mencukupi dan dokumen sokongan mencurigakan.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri memperkasakan program itu dengan mewujudkan beberapa kategori khas dan diluluskan Selgate Corporation Sdn. Bhd.

Katanya, kategori Khas itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri yang mempunyai rekod penerima layak menerima manfaat di bawah program itu.

“Ia termasuk orang kelainan upaya (OKU) ,anak yatim, guru KAFA, imam masjid dan surau, fakir miskin, ketua kampung, ketua komuniti India dan Warga Emas,” katanya.

PEDULI SIHATSPS yang dilancarkan pada 24 Januari lalu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bebanan kos rawatan kesihatan rakyat yang semakin tinggi.

Program terunggul di Malaysia dan hanya terdapat di Selangor itu merupakan program berimpak tinggi selari peruntukan dikhususkan pelaksanaannya, iaitu RM125 juta setahun.

Pada masa ini sebanyak 624 klinik panel berdaftar dengan SPS.