Categories
KENYATAAN MEDIA

Tapak Balai Bomba & Penyelamat Setia Alam & Bukit Rahman Putra

OLEH: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Kerajaan Negeri Selangor telah menulis surat kepada Ketua Pengarah, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia pada 10 Julai 2017 untuk menjawab tuduhan YB Tan Sri Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan mengenai premium tapak Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Kerajaan Negeri Selangor amat kesal dengan dakwaan YB Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri telah mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra. Dakwaan ini adalah satu fitnah dan tuduhan yang tidak berasas serta tidak beretika.

Tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra asalnya merupakan tanah milik pemaju yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Perancang.

Tapak tersebut seterusnya dimohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara untuk kegunaan tapak Balai Bomba dan Penyelamat.

Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemberimilikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan adalah dengan balasan bayaran premium yang sama banyak dengan nilai pasaran.

BOMBA PENYELAMATPenilaian harga pasaran untuk tanah-tanah yang diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan termasuk tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra telah dinilai oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Penilaian harga pasaran bagi tapak di Setia Alam adalah berjumlah RM19,850,000.00 (RM1,700.00 smp) manakala di Bukit Rahman Putra bernilai RM9.7 juta (RM1,200.00 smp).

Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli rakyat dan prihatin terhadap pembangunan kemudahan awam demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka Kerajaan Negeri Selangor melalui Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Selangor – Penyeragaman Kadar Premium Tanah-Tanah Kerajaan Yang Diberimilik kepada Kerajaan Persekutuan, telah memberikan diskaun sebanyak 75% daripada nilai pasaran bagi kedua-dua tanah tersebut.

Pemberian diskaun sebanyak 75% bagi kedua-dua tapak untuk Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil/pendapatan berjumlah RM22,187,500.00.

Namun, demi rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menanggung kehilangan hasil tersebut.

Untuk makluman, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tanah Negara telah memutuskan kadar premium nominal RM1,000.00 hanya terpakai bagi tujuan tapak sekolah sahaja berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1 Tahun 1997.

Pengenaan premium dengan nilai pasaran ke atas setiap permohonan pemberimilikan yang dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dilaksanakan di semua negeri.

Kerajaan Negeri berharap pencerahan ini akan dapat menjawab tohmahan YB Tan Sri Noh Omar berhubung isu premium tapak Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia untuk bersama-sama menjaga keselamatan awam di Negeri Selangor.

Saya telah mengadakan perbincangan awal dengan PKPjB Azmi Bin Osman, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor yang baru untuk maksud ini sewaktu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas saya pada 4 Julai 2017.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Dato’ Menteri Besar Selangor