Categories
SELANGOR SENI

Teater di Sawah Padi tampil kelainan, susulan kejayaan Teater Atas Pokok

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 JULAI: ‘Teater di Sawah Padi’ dipersembahkan kepada orang ramai di kawasan sawah padi di Parit Dua Barat, Sungai Besar, dekat sini, 12 dan 13 Ogos ini, bagi menampilkan kelainan dalam pementasan teater di negara ini.

Penganjur, Ziarah Karyawan dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) memilih pendekatan itu berikutan kejayaan persembahan teater berbeza, ‘Teater Atas Pokok’ dijayakan pada April tahun lalu yang menempa kejayaan sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai persembahan teater di atas pokok pertama di Malaysia.

Melalui pengarah sama, Shamsuddin Osman atau Dinsman, maka persembahan itu dirancang menerusi kaedah berbeza dengan mengangkat karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang iaitu Uda dan Dara untuk dipersembahkan dengan olahan semula melalui ‘Teater di Sawah Padi Uda&Dara Adaptasi Upih’ dalam pementasan teater muzikal.

Dinsman berkata, kelainan dengan menjadikan kawasan sawah padi sebagai pentas persembahan kerana mengangkat tema teater itu iaitu persoalan kepada perjuangan kaum tani menentang penindasan ke atas mereka.

“Selama ini umum terpesona dengan kisah cinta Uda dan Dara tetapi mengabaikan bahagian akhir selepas kematian Uda berkaitan perjuangan kaum tani yang mungkin dianggap tidak indah dan romantik.

Teaters“Ada sesuatu yang indah yang ingin diperlihatkan melalui karya Usman dan bersesuaian dengan persekitaran alam di kawasan sawah padi di Sungai Besar,” katanya.

Persembahan itu juga dilakukan ekoran pembatalan untuk diadakan di kampung asal Usman di Kuala Sedili, Johor dengan penarikan diri penaja utama dari Johor.

Mengambil kira kesesuaian kawasan sawah padi di Sungai Besar maka penganjur Ziarah Karyawan dan PAKSI dengan kerjasama Yayasan Usman Awang serta ZK Kebersamaan memutuskan memindahkannya ke Selangor.

“Tiada kepastian sama ada pernah diadakan persembahan seperti ini sama ada di Selangor atau negeri lain tetapi kita mahu mewujudkan kelainan dalam persembahan ini.

“Mungkin persembahan ini akan menarik audien besar dengan sasaran sekitar 1,000 orang,” katanya yang turut mengatakan lokasi dipilih memudahkan pelakun dan tenaga produksi menjalani latihan.

Antara pelakun teater itu ialah Taufiqizmir sebagai Uda, Yzara Amrand (Dara), Ilhamdi Sulaiman (Utih), Fairul Pujangga (Malim), Ayudez Fia (Mak Dara), Intan Suraya (Mak Uda), Hafidz Haikal (Alang Bakhil), Ishak Yussof Waghih Lapan (Pak Guru) serta penampilan khas, pengarah filem, Yassin Salleh.

=EZY=