Categories
KENYATAAN MEDIA

Undang-undang tegas atasi gejala rokok

Saya ambil maklum cadangan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang mahukan negara bebas asap rokok pada tahun 2045, atau kira-kira 28 tahun akan datang.

Strategi yang Dr Hilmi ketengahkan adalah pemerkasaan dan promosi kesihatan, termasuklah melalui kempen kesedaran melibatkan peringkat antarabangsa.

Antara inisiatif lain yang diketengahkan ialah kenaikan cukai eksais, meletakkan gambar amaran pada kotak rokok dan juga pewartaan kawasan larangan merokok.

Pada hemat saya, apa yang dikatakan itu hanyalah satu benda biasa yang berbeza dengan realiti, di mana bilangan perokok di Malaysia semakin bertambah.

Pada 29 Ogos 2016, Dr Hilmi sendiri menyatakan bahawa kira-kira 5 juta rakyat di negara ini merupakan perokok aktif.

Ini bermakna setiap satu daripada enam orang rakyat Malaysia terlibat dalam gejala tidak sihat ini. Angka ini terlalu merisaukan apatah lagi setelah kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif.

Saya merujuk pada portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, data menunjukkan pertambahan perokok di Malaysia, bermula daripafa 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta pada tahun 2011.

Angka ini terus bertambah dengan genapnya 5 juta perokok pada 5 tahun seterusnya.

Jika dibandingkan kuantiti rokok yang dihisap dalam tempoh setahun, keadaan ini cukup mengkhuatirkan. Daripada 18 bilion rokok yang dihisap pada tahun 1998, angka ini telah mencecah 23.7 bilion batang rokok pada tahun 2015.

Tidak hairanlah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa seramai 100 000 rakyat Malaysia meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berpunca dengan aktiviti merokok.

Di manakah silapnya polisi kesihatan kebangsaan?

Mengapa bilangan perokok bertambah, meskipun kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit saban tahun untuk melaksanakan kempen dan klinik pemberhentian? Mengapa masih ramai yang membeli rokok meskipun terpampang gambar kesan buruk akibat merokok pada iklan dan kotak rokok?

Realitinya, kerajaan tidak bersungguh-sungguh mengharamkan rokok atas dasar ianya menguntungkan kerajaan.

Kutipan cukai eksais rokok yang kini mencecah RM1 bilion adalah sangat banyak, memandangkan kerajaan sentiasa meningkatkan harga rokok dengan harapan bahawa permintaan rokok akan berkurangan.

Tetapi malangnya, perokok mencari alternatif lain dengan membeli rokok seludup yang tidak dikenakan cukai, apatah lagi gagal disekat oleh pihak berkuasa.

Impaknya, cukai bukanlah satu inisiatif yang boleh menghentikan tabiat rokok rakyat Malaysia. Apa yang harus dilaksanakan kerajaan adalah penguatkuasaan undang-undang.

Dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, saya pasti perkara ini lebih jelas untuk membentuk sebuah negara yang bebas asap rokok, jika dibandingkan dengan picisan poster dan gambar kempen yang tidak diendahkan oleh perokok.

YB Dr Azman Ismail
Ahli Parlimen Kuala Kedah
Parti KEADILAN Rakyat